Search This Blog

Wednesday, October 06, 2010

Vietnam semakin ke hadapan

Sumber: Utusan Malaysia,

KUALA LUMPUR 6 Okt – Vietnam telah dikenalpasti sebagai lokasi strategik baharu untuk francaisor dan francaisi tempatan meluaskan pasaran jenama mereka. Pemilihan negara itu adalah berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Menurut MFA, pasaran francais di negara itu berkembang pesat dengan purata perolehan meningkat mencecah 50 peratus setahun dan aliran tersebut dijangka berterusan sehingga 2012.

Vietnam yang mempunyai kapasiti penduduk seramai 87.9 juta merupakan negara ketiga terpantas dalam perkembangan ekonomi di dunia selepas China dan India.

Ketua Eksekutif MFA, Sofia Leong Abdullah, setakat ini syarikat tempatan yang sudah berjaya bertapak di negara berkenaan adalah SP Setia dan Berjaya sahaja.

Menurutnya, MFA akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) untuk mempromosikan pelaburan berpotensi ini kepada usahawan tempatan.

“MFA menyasarkan untuk membawa tujuh atau lapan syarikat francais tempatan yang berpotensi ke sana sebelum akhir tahun ini.

“Kami yakin akan membawa lebih banyak syarikat ke Vietnam tahun depan selepas Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) diumumkan kerajaan kelak,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Strategi Mengembangkan Pasaran Antarabangsa-Vietnam di sini hari ini.

Sofia berkata, sektor francais yang mendapat permintaan tinggi di Vietnam ialah peruncitan (25 peratus), minuman (20 peratus), restoran (16 peratus), fesyen (9 peratus) dan pendidikan (5 peratus).

“Untuk permulaan MFA fokus kepada sektor pendidikan kerana permintaan terhadap pendidikan bahasa Inggeris sangat tinggi memandangkan bahasa tersebut menjadi bahasa kedua negara berkenaan.

“Antara lokasi strategi di Vietnam adalah di Hanoi, Ho Chi Minh City, Danang, Can Tho dan Hai Phong,” ujarnya.

Kata Sofia, keadaan ekonomi Vietnam sudah jauh berubah berbanding lima tahun dahulu dan segala kemudahan yang disediakan negara berkenaan untuk pelabur asing juga serba moden setanding dengan negara lain.

Katanya, lebih dua juta rakyat Vietnam belajar dan tinggal di luar negara dan dianggar lebih AS$20 bilion (RM61.9 bilion) telah disalurkan ke negara berkenaan oleh golongan tersebut dan ini menjadi antara faktor utama peningkatan kuasa membeli di sana.

“Sebagai contoh harga Loteria Burger dari Jepun dijual tiga kali ganda lebih mahal berbanding makanan sama keluaran tempatan tetapi masih menjadi pilihan.

“Purata rakyat Vietnam mengunjungi restoran makanan segera asing sebanyak tiga kali sebulan,” jelasnya

No comments:

Post a Comment